Ceramah Khas Israk, Mikraj perkukuh persediaan rohani menjelang Ramadan




Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman






BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 9 Februari. - Sembahyang merupakan lambang kejayaan sebenar bagi seorang Muslim kerana ia bukan sahaja membentuk ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wata'ala, malah menjadi asas kejayaan di dunia dan akhirat.


Golongan yang bertakwa adalah mereka yang memelihara dan menunaikan kewajipan sembahyang, dan kejayaan yang hakiki bukan hanya diukur melalui pencapaian duniawi, tetapi merangkumi kebahagiaan dan ganjaran di akhirat.


Perkara ini ditekankan dalam Ceramah Khas bertajuk 'Dari Langit Israk dan Mikraj Menuju Madrasah Ramadan' oleh Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Awang Muhammad Safwan bin Mohd. Suffian dalam Ceramah Khas sempena Sambutan Israk dan Mikraj Tahun 1447 Hijrah serta Kedatangan Awal Ramadan bagi Kelas Bimbingan Muslimah Senegara yang berlangsung di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, hari ini.


Mengimbas peristiwa Israk dan Mikraj, beliau menerangkan bagaimana Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam diangkat ke Sidratulmuntaha dan menerima perintah sembahyang.


Atas nasihat Nabi Musa Alaihisallam, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam memohon keringanan daripada Allah Subhanahu Wata'ala sehingga jumlah sembahyang dikurangkan daripada 50 waktu kepada lima waktu sehari semalam. Pengurangan ini adalah sifat rahmat dan belas ihsan Allah Subhanahu Wata'ala serta keprihatinan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam terhadap umatnya.


Beliau turut mengingatkan bahawa antara tujuan utama sembahyang ialah untuk mencegah perbuatan keji dan mungkar, menenangkan jiwa serta menghapuskan dosa-dosa kecil. Sembahyang juga disifatkan sebagai tiang agama, di mana runtuhnya sembahyang akan menyebabkan rapuhnya keseluruhan pegangan agama seseorang.


Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan kekhusyukan dalam sembahyang yang merangkumi aspek persediaan, pelaksanaan dan penutup. Antara langkah untuk mencapai kekhusyukan ialah dengan meninggalkan urusan dunia ketika sembahyang serta memahami makna bacaan dalam sembahyang agar hati lebih lapang dan fokus.


Ceramah tersebut juga mengupas kelebihan bulan Syaaban yang disifatkan sebagai jambatan menuju Ramadan. Bulan ini, menurut beliau, merupakan masa terbaik untuk melatih diri dengan memperbanyakkan amalan soleh seperti membaca Al-Quran, beristighfar dan meningkatkan ibadah.


Sebagai persediaan menghadapi Ramadan, umat Islam disarankan untuk melazimi niat, menjaga lidah dan penglihatan serta memanfaatkan seluruh anggota ke arah kebaikan. Beliau mengingatkan agar umat Islam memaksa diri melakukan kebaikan sebagai latihan rohani demi merebut peluang gandaan pahala yang dijanjikan Allah Subhanahu Wata'ala sepanjang bulan Ramadan.


Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah isteri Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Hajah Nahriah binti Haji Awang Asbi, yang juga memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah.


Sesi ceramah anjuran Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Omar 'Ali Saifuddien dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Hal Ehwal Muslimah ini diadakan bagi mengukuhkan lagi semangat serta menguatkan azam para Muslimah dalam meningkatkan ibadah sempena kedatangan bulan Ramadan yang bakal tiba, di samping memperingati peristiwa agung Israk dan Mikraj Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.


Dalam masa yang sama, penganjuran ceramah ini adalah juga untuk menggalakkan penglibatan aktif para Muslimah dalam memperkembangkan syiar Islam serta mengeratkan silaturahim sesama Muslimah Kelas Bimbingan Muslimah.


Di samping itu, ceramah ini bertujuan meningkatkan kefahaman terhadap peristiwa Israk dan Mikraj Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam serta mengambil iktibar dan pengajaran daripadanya sebagai panduan dalam kehidupan seharian.


Ceramah ini turut dihasratkan dapat mempersiapkan para Muslimah dari segi rohani dan jasmani agar mereka dapat menyambut serta menghayati bulan Ramadan dengan lebih berkesan.


Majlis diserikan lagi dengan Persembahan Syair dan Lagu Dakwah yang disampaikan oleh Kumpulan Muslimah Masjid Omar 'Ali Saifuddien. Sebelum majlis bersurai, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Tenaga Pembimbing Kelas Bimbingan Muslimah, Dayang Nurhafizah binti Haji Ismadi.


Close